Smartphone kelas pertengahan menjadi pilihan terutamanya untuk pengguna di Malaysia. Ini kerana harganya yang lebih murah disamping spesifikasi yang agak baik untuk kegunaan harian.
Namun untuk mencari peranti yang terbaik bukanlah pekara yang mudah oleh kerana terdapat lambakan peranti di pasaran. Namun, bagi yang sedang mencari peranti dibawah harga RM1000, Asus Zenfone Max Plus (M1) mungkin boleh dipertimbangkan.
Rekaan Dan Skrin
- Rekaan logam dengan skrin kaca 2.5D dengan bezel nipis (2.47mm).
- Skrin FullView bersaiz 5.7 inci, nisbah 18:9 dan resolusi 1440 x 720 pixel.
Seperti yang kita tahu, Asus Zenfone Max Plus (M1) membawakan skrin FullView, nisbah 18:9 beersaiz 5.7 inci dengan resolusi HD+ 1440 x 720 pixel. Skrin ini lebih memanjang dan besar pada badan yang lebih kecil. Oleh itu, peranti ini amat selesa di gengam walaupun anda memiliki tangan yang kecil seolah-olah memegang peranti bersaiz 5.2 inci.
Baca Juga : Asus Zenfone Max Plus (M1) : Unboxing Dan Pandang Pertama
Peranti ini juga mendapat kemasan logam dengn tiga pilihan warna Deepsea Black, Sunlight Gold dan Azure Silver. Pada rekaan luar, Asus Zenfone Max Plus (M1) turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari di belakang, butang kawalan suara dan butang on/off di sisi serta port microUSB dan audio jack di bahagian bawah dan atas peranti.
Rekaan Asus Zenfone Max Plus (M1) Dengan Badan Logam Yang Premium |
Model baru ini juga hadir dengan Dual-SIM yang menyokong rangkaian 4G LTE. Tidak seperti kebanyakan peranti Hybrid SIM yang berkongsi tempat dengan slot microSD, Zenfone Max Plus M1 ini menyediakan slot tersendiri untuk kedua-dua SIM dan slot microSD.
Prestasi Dan Bateri
- Pemproses Mediatek MT6750T Octa-Core 1.5 GHz Cortex-A53
- Hadir dengan 32GB memori terbina dan 4 GB RAM.
- Bateri 4130 mAh, pengecasan pantas dan pengecasan berbalik
Di dalamnya, peranti ini membawakan cip Mediatek MT6750T dengan CPU Octa-Core 1.5 Ghz. Ianya bukanlah cip kelas perdana, namun untuk kegunaan harian ia dapat jalankan denngan lancar. Cip yang sama juga digunakan pada smartphone seperti Oppo F3 dan Oppo A77 yang telah diumumkan pada May 2017.
Asus Zenfone Max Plus (M1) juga hadir dengan memori terbina 32GB dan 4 GB RAM. Setelah dipasang lebih 50 aplikasi termasuk aplikasi sedia ada Google dan Asus, peranti ini masih lgi berbaki lebih 18 GB. Sekiranya masih tidak mencukupi, ruangan slot microSD boleh digunakan yang boleh dimuat sehingga 256GB.
Untuk prestasi bateri, Zenfone Max Plus (M1) boleh dikatakan antara model dengan jangka hayat bateri yang lama. Untuk penggunaan biasa dengan Wifi yang sentiasa dipasang, jangka hayat bateri boleh mencecah sehingga dua hari lamanya. Tambahan pula bateri berkapasiti 4130 mAh ini turut menyokong pengecasan pantas dan pengecasan berbalik. Maksudnya, peranti ini boleh dijadikan sebagai “Power Bank” untuk memberi kuasa kepada peranti lain melalui kable USB On-The-Go yang dibekalkan.
Kamera
- Kamera utama 16 Megapixel (F2.0) dan 8 Megapixel (sudut lebar 120 darjah)
- Kamera selfie 16 Megapixel (F2.0) dengan mod Portrait dan Beauty
Jika juru gambar professional perlu membawa dua kamera DSLR untuk gambar fotografi indoor dan outdor, kini melalui peranti ini sudah memadai untuk mengambil gambar di kedua-dua suasana tersebut. Asus Zenfone Max Plus (M1) memiliki dua lensa di belakangnya. Lensa pertama 16 Megapixel (F2.0) sebagai lens utama yang sesuai mengambil gambar portrait, gambar jarak dekat atau close-up dan sebagainya. Lensa kedua 8 Megapixel dengan bukaan sudut lebar 120 darjah lebih sesuai untuk fotografi di ruang yang terbatas seperti di dalam bilik atau rumah, atau mengambil gambar panorama atau bagunan yang besar dan luas. Di bawah ini adalah sebahagian gambar yang di ambil menggunakan kamera Asus Zenfone Max Plus (M1).
Sebahagian gambar yang diambil menggunakan Asus Zenfone Max Plus (M1) |
Peranti ini juga membawakan bebrapa mod fotografi termasuk Beauty, Super Resolution dengan gambar diambil ber-resolusi 64 Megapixel, mod Panorama, Animasi GIF, Time Lapse dan juga mod Pro bagi yang lebih kreatif dengan menggunakan aturan kamera sendiri.
Untuk kamera selfie, peranti ini membawakan sensor dengan resolusi tinggi iaitu 16 Megapixel bagi menghasilkan gambar selfie yang lebih terperinci. Kamera selfienya juga menyokong mod portrait dengan kesan kabur di belakang walaupun memiliki kamera tunggal di depan.
ZenUI 4.0 Dan Android 7.0 Nougat
Asus Zenfone Max Plus M1 hadir dengan Android 7.0 Nougat dengan antaramuka khas dari Asus melalui ZenUI 4.0. Ianya bukanlah platform terkini, namun memandangkan ia merupakan smartphone baru, berkemungkinan besar Asus akan bawakan kemaskini Android 8.0 Oreo untuk peranti ini.
Asus Zenfone Max Plus (M1) menggunakan antaramuka ZenUI 4.0 yang lebih kemas dan teratur |
Untuk ZenUI 4.0 pula menampilkan antaramuka yang lebih kemas dan teratur. Asus juga telah bawakan beberapa aplikasi khas untuk peranti ini termasuk Selfie Master, Power Master, Audio Wizard, File Manager dan fungsi Face Unlock.
Kesimpulan
Apa Yang Kami Suka Tentang Asus Zenfone Max Plus (M1)
- Asus Zenfone Max Plus M1 hadir dengan rekaan FullView, nisbah 18:9 yang menawarkan skrin yang lebih besar iaitu 5.7 inci tetapi pada badan yang lebih kecil.
- Kapasiti bateri yang besar iaitu 4130 mAh dengan jangka hayat sehingga dua hari. Ia turut menyokong pengecasan pantas dan pengecasan berbalik.
- Sokongan Dual-SIM dan microSD dengan slot tersendiri tanpa berkongsi seperti kebanyakan peranti lain.
- Penggunaan Dual-Kamera dengan kamera resolusi tinggi untuk mengambil gambar portrait dengan kesan bokeh yang lebih baik.
- Harganya masih lagi dikatakan mampu milik dengan spesifikasi dan pakej yang ditawarkan.
Apa Yang Kami Kurang Suka Tentang Asus Zenfone Max Plus (M1)
- Peranti ini masih lagi menggunakan platform Android 7.0 dengan ZenUI 4.0. Buat masa ini masih belum ada kata rasmi dari Asus mengenai kemaskini Android 8.0 Oreo untuk peranti ini.
- Pengimbas wajah dapat berfungsi dengan baik, namun ianya agak sukar dikenal pasti pada suasana kurang cahaya. Jadi, pengimbas cap jari masih lagi menjadi pilihan utama untuk peranti ini.
- Peranti ini menggunakan skrin resolusi HD+ 1440 x 720 pixel. Paparannya agak baik namun untuk peranti berharga RM899 penggunaan skrin FHD+ 1080 x 2160 pixels lebih sesuai untuk kejelasan yang lebih baik.
Kesimpulannya, untuk harga smartphone dibawah harga RM900, Asus Zenfone Max Plus (M1) menawarkan smartphone dengan skrin FullView yang lebih berbaloi dimiliki. Asus Zenfone Max Plus (M1) boleh didapati dari pengedar rasmi Asus dan juga melalui atas talian di Lazada Malaysia.