Harga Huawei MediaPad M5 Dan M5 Pro Malaysia

Huawei antara jenama selain Xiaomi dan Samsung yang masih lagi meneruskan pasaran tablet Android. Hari ini, Huawei Malaysia telah melancarkan Huawei MediaPad M5 dan M5 Pro untuk pasaran tempatan dengan harga jualan bermula dari RM1499.

MediaPad M5 mula diumumkan Februari yang lalu dan merupakan tablet 8.4 inci dengan resolusi 2560 x 1600 pixel yang menyokong rangkaian LTE Cat12 melalui kad Sim nano. Malah ia mampu membuat panggilan suara serta menghantar SMS seperti sebuah smartphone yang biasa.

Di dalamnya, peranti ini dikuasai oleh cip HiSilicon Kirin 960s dengan CPU Octa-Core serta menawarkan memori sebesar 64GB dan 4GB RAM. Peranti dengan Android 8.0 Oreo ini juga tampil bergaya dengan bateri 5100 mAh yang besar.

Harga Huawei MediaPad M5 Dan M5 Pro Malaysia

Kameranya di padankan dengan lensa 13 Megapixel di belakang dan 8 Megapixel di hadapan. Menarik mengenai Huawei MediaPad M5 ini ialah hadir dengan dual-speaker yang mendapat sentuhan Harman Kardon Audio serta menyokong Hi-Res Audio.

Selain dari itu, Huawei turut memperkenalkan Huawei MediaPad M5 10 (Pro) bagi yang memerlukan kapasiti bateri serta saiz skrin yang lebih besar. Ia dimuatkan dengan bateri Li-Po 7500 mAh dan skrin bersaiz 10.8 inci dengan resolusi 2560 x 1600 pixels. Versi Pro ini juga menyokong stylus.

Peranti ini amat sesuai dijadikan peranti multimedia untuk tontonan movie dan sebagainya oleh kerana menawarkan skrin yang besar serta sistem audio yang berkualiti. Di Malaysia, Huawei MediaPad M5 boleh didapati bermula hari ini dengan harga jualan RM1499 untuk model 8.4 inci manakala model Pro dengan 10.8 inci dijual pada harga RM1899.