Motorola Moto Z3 Malaysia

Motorola baru sahaja mengumumkan peranti perdana Moto Z3 pada satu majlis khas yang berlangsung di Chicago. Ianya merupakan peranti yang menyokong MotoMod yang merupakan aksesori modular tambahan yang boleh disambung pada permukaan belakang peranti.

Mengenai spesifikasinya, Moto Z3 bawakan cip Snapdragon 835 dengan 4GB RAM dan memori 64GB. Untuk peranti perdana, Snapdragon 835 bukanlah versi yang terbaru seperti Snapdragon 845 yang banyak digunakan pada model perdana tahun ini. Peranti ini juga hadir dengan bateri 3,000 mAh serta platform terbaru Android 8.1 Oreo.

Kamera yang digunakan ialah dua sensor 12 Megapixel di bahagian belakang. Manakala kamera selfie menampilkan kamera 8 Megapixel.

Motorola Moto Z3 Malaysia

Selain peranti Moto Z3, Motorola turut memperkenalkan aksesori modular khas untuk peranti tersebut iaitu 5G MotoMod. Aksesori tersebut memberikan tambahan 2000 mAh bateri serta sambungan ke rangkaian 5G yang dijangka akan digunakan pada tahun hadapan melalui rangkaian Verizon.

Buat masa ini peranti ini hanya ditawarkan di USA sahaja. Tiada maklumat mengenai harga dan penawaran Moto Z3 ke pasaran di luar USA buat masa ini.