Sony Xperia L3 Dan XA3

Awal tahun ini Sony telah mengumumkan peranti mampu milik dan pertengahan iaitu Xperia L2, Xperia XA2 dan Xperia XA2 Ultra. Kini sudah hampir setahun berlalu dan Sony telah bersedia mengumumkan pengganti kepada model-model tersebut dengan tertirisnya dua model baru iaitu Sony Xperia XA3 dan Sony Xperia L3.

Bedasarkan gambar render yang tertiris, Sony Xperia XA3 akan menggunakan skrin FullView bersaiz 5.9 inci dengan resolusi 1080 x 2160 pixel serta susunan dua kamera di bahagian belakang. Pengimbas cap jari di letakkan di bahagian sisi peranti.

Peranti ini juga dijangka akan hadir dengan cip pemproses Snapdragon 660, pilihan memori dan RAM sehingga 6GB RAM dan 64GB memori serta menggunakan port USB Type-C. Peranti ini juga akan menggunakan platform Android 9.0 Pie yang terbaru.

Sony Xperia L3 Dan XA3

Bagi Xperia L3 pula akan hadir dengan skrin yang lebih kecil iaitu 5.7 inci dengan resolusi HD+ dan nisbah skrin 18:9. Seperti Xperia XA3, peranti ini turut hadir dengan dua kamera di belakang dan pengimbas cap jari di sisi peranti. Namun masih belum diketahui jenis sensor kamera yang digunakan.

Sony Xperia XA3 dan Xperia L3 dijangka akan diumumkan semasa CES 2019 pada awal tahun hadapan. Tiada maklumat harga untuk kedua-dua peranti tersebut buat masa ini.