Nampaknya Sony dijangka akan membuat perubahan nama model untuk smartphone keluaran mereka tahun ini. Sebelum ini peranti dari siri Xperia XA dikatakan akan dijenamakan sebagai Xperia 10 dan Xperia 10 Plus. Untuk model perdana pula, Sony dijangka akan hadir dengan model Sony Xperia 1 bagi menggantikan Xperia XZ3 yang dilancarkan tahun lalu.

Sony Xperia 1 termasuk Xperia 10 dan 10 Plus akan diumumkan 25 Februari ini. Bedasarkan gambar render yang didedahkan Evan Blass, Sony Xperia 1 akan menggunakan skrin OLED panjang bersaiz 6.5 inci dengan nisbah 21:9.

Peranti Premium ini juga akan hadir dengan tiga kamera di bahagian belakang dengan sensor 52 Megapixel F1.6, 16 Megapixel F2.6 dan kamera TOF untuk menambah baik pengesan kedalaman bagi menghasilkan bokeh yang lebih baik. Untuk maklumat anda, kamera TOF juga digunakan pada Samsung Galaxy S10 5G.

Untuk prestasinya, Sony Xperia 1 berada sebaris dengan peranti premium yang lain. Ia bakal menggunakan pemproses Snapdragon 855, 6GB RAM dan 128GB memori dalaman. Fungsi lain yang dijangka terdapat pada Sony Xperia 1 termasuk bateri 4400 mAh, NFC, fungsi kalis air dan debu dan menggunakan platform Android Pie.