Apple telah mengumumkan kemaskini terbaru untuk iPad yang kini hadir dalam generasi ketujuh. Apple iPad 10.2 2019 ini hadir dengan skrin yang lebih besar iaitu 10.2 inci berbanding generasi sebelum ini yang menggunakan skrin 9.7 inci.

Tablet ini akan dijual di Malaysia dengan harga RM1449 untuk model 32GB dan RM1849 untuk model 128GB. Manakala versi LTE pula dijual bermula RM1999 untuk model 32GB dan RM2399 untuk model 128GB.

Apple iPad 10.2 yang baru ini direka untuk memanfaatkan sepenuhnya iPadOS iaitu sistem operasi baru khas untuk iPad. OS baru ini memberikan ciri multitasking yang lebih baik, pengalaman menggunakan aplikasi seperti desktop serta sokongan penggunaan tetikus, papan kekunci dan stylus.

Untuk prestasinya, iPad baru ini dikuasai oleh cip Apple A10 Fusion dengan kemampuan 2GB RAM serta pilihan memori 32GB dan 128GB. Ia hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Gold, Silver dan Space Gray.