Huawei telah mengumumkan peranti pengesan kecergasan iaitu Huawei Band 4 Pro bagi menggantikan model sebelum ini Huawei Band 3 Pro.

Seperti model sebelum ini, Huawei Band 4 Pro turut menggunakan skrin AMOLED 0.95 inci yang sama dengan lapisan kaca lengkung 2.5D dan juga butang HOME. Ia juga memiliki ciri-ciri kalis air dan debu.

Huawei Band 4 Pro sesuai diguna untuk mengesan kadar denyutan jantung secara berterusan, pengesan tidur serta memiliki lebih 11 mod sukan termasuk berbasikal, berlari, berenang dan sebagainya.

Fungsi lain yang terdapat pada Huawei Band 4 Pro termasuk GPS, NFC, Bluetooth 4.2 LE, kawalan muzik, notifikasi untuk mesej dan panggilan serta memiliki bateri 100 mAh yang mampu bertahan sehingga 5 hari.

Huawei Band 4 Pro boleh didapati dalam pilihan warna hitam, merah dan merah jambu dengan harga 399 Yuan atau bersamaan RM299 di Malaysia. Ia mula dijual di China pada 12 Disember ini.