Harga Xiaomi Mi 10 Di Malaysia

Pada yang menanti-nantikan model Xiaomi Mi 10 dan Xiaomi Mi 10 Pro, kami ada berita baik untuk anda. Kedua-dua model ini baru sahaja diumumkan untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan bermula RM2799 untuk model Xiaomi Mi 10 dan RM3899 untuk model Xiaomi Mi 10 Pro.

Kedua-dua model ini merupakan versi rangkaian 5G dengan skrin AMOLED bersaiz 6.67 inci dan resolusi 1080 x 2340 pixels (FHD+). Kedua-duanya turut tampil dengan sokongan HDR10+, paparan dengan kadar segar semula 90Hz serta dikuasai oleh pemproses Qualcomm SM8250 Snapdragon 865.

Perbezaan utama kedua-dua model ini dapat dilihat pada sistem kamera, kapasiti bateri, variasi memori dan pilihan warna. Model Xiaomi Mi 10 menampilkan kamera utama 108 MP (f/1.7) dengan OIS, kamera sudut lebar 13 MP, kamera makro 2 MP dan kamera pengesan kedalaman 2 MP. Manakala untuk selfie menggunakan lensa 20 MP.

Peranti ini menawarkan dua pilihan memori untuk pasaran Malaysia iaitu 8GB/128GB yang dijual pada harga RM2799 dan 8GB/256GB yang dijual pada harga RM2999 serta tampil dengan bateri Li-Po 4780 mAh dan sokongan pengecasan pantas 30W.

Untuk Xiaomi Mi 10 Pro pula hadir dengan kombinasi kamera 108 MP (f/1.7) dengan OIS, dua kamera telefoto 12 MP dan 5 MP dengan kemampuan 5X optikal zoom dan 20MP kamera sudut lebar. Ia juga menggunakan kamera selfie 20 MP.

Harga Xiaomi Mi 10 Di Malaysia

Di Malaysia, peranti ini hanya hadir dengan satu variasi memori iaitu 8GB/256GB yang dijual pada harga RM3899. Ia turut hadir dengan bateri Li-Po 4500 mAh dengan pengecasan pantas 50W.

Bagi yang berminat untuk dapatkan Xiaomi Mi 10 dan Mi 10 Pro boleh menempah mulai 22 hingga 30 April dan jualan rasmi akan bermula 1 Mei ini. Bagi yang membuat pra tempahan akan menerima Mi True Wireless Earphone untuk model Mi 10 Pro dan Mi Smart Band 4 untuk Mi 10.