Baru-baru ini, Google telah memperkenalkan Google Pixel 4a yang merupakan peranti kelas pertengahan bersaiz 5.81 inci dan pemproses Snapdragon 730. Google dijangka akan memperkenalkan dua lagi model pada 30 September ini iaitu Google Pixel 4A 5G dan juga Google Pixel 5.

Untuk Google Pixel 5, gambar render 3D untuk peranti tersebut telah di dedahkan. Menurut @OnLeaks, peranti tersebut memiliki dimensi 144.7 x 70.4 x 8.1mm serta rekaan yang hampir sama dengan model Pixel 4A. Peranti ini juga akan menggunakan skrin bersaiz 5.8 inci dengan lubang selfie tunggal di hadapan.

Di bahagian belakang pula, peranti kelas pertengahan ini tertera dua kamera dengan LED Flash serta pengimbas cap jari. Google Pixel 5 akan dikuasai oleh pemproses Qualcomm Snapdragon 765G, 128GB memori dalaman serta menyokong pengecasan tanpa wayar terbalik yang dinamakan sebagai Battery Share.

Untuk spesifikasi lanjut, sama-sama kita nantikan pelancaran Google Pixel 5 pada 30 September ini.