Sony telah mengesahkan mereka akan adakan acara pelancaran produk Xperia baru pada 17 September ini. Pada acara tersebut, syarikat itu dijangka akan memperkenalkan Sony Xperia 5 II, pengganti kepada Sony Xperia 5 yang diumumkan tahun lalu di IFA 2019.

Berdasarkan gambar yang telah tertiris baru-baru ini, Sony Xperia 5 II dikatakan hadir dengan reka bentuk yang serupa dengan Xperia 5 dengan nisbah skrin 21:9, tiga kamera belakang, pengimbas cap jari yang dipasang di sisi, dan butang kamera khusus juga di sisi.

Peranti ini juga dijangka hadir dengan paparan jenis OLED FHD+, pemproses Snapdragon 865 dengan 8GB RAM, kamera utama 12 megapiksel, sensor ultra lebar 12 megapiksel dan lensa telefoto 12 megapiksel. Kamera hadapan pula akan dimuatkan dengan sensor 8 megapiksel.

Untuk spesifikasi Sony Xperia 5 II selanjutnya sama-sama kita nantikan pada acara yang berlangsung 17 September ini yang boleh ditonton secara siaran langsung di saluran YouTube Sony Xperia.