Xiaomi baru saja mengumumkan model mampu milik terbaru dari jenama Poco iaitu Poco X3 NFC. Peranti ini menawarkan skrin IPS LCD FullHD+ bersaiz 6.67 inci dengan kadar penyegaran 120Hz dan menyokong HDR10.

Model ini merupakan telefon pertama yang dikuasakan oleh Snapdragon 732G SoC. Ia juga hadir dengan RAM 6GB, pilihan 64GB atau 128GB dan menjalankan platform Android 10 dengan MIUI 12.

Untuk kamera, peranti pertenghan ini hadir dengan sensor utama Sony IMX682 64MP 1/1.7″ di bahagian belakang. Ia turut dipadankan dengan lensa sudut lebar 13MP, lensa makro 2MP dan kamera 2MP untuk gambar potret. Di bahagian depan terdapat kamera 20MP untuk mengambil gambar selfie.

Telefon ini juga mempunyai pengimbas cap jari yang dipasang di sisi dan bateri 5160mAh dengan pengecasan pantas 33W yang boleh mengecas hingga 62% dalam tempoh 30 minit dan hingga 100% dalam tempoh 65 minit. Seperti namanya, sudah tentu peranti ini menawarkan fungsi NFC.

Xiaomi Poco X3 NFC boleh didapati dalam warna Shadow Grey dan Cobalt Blue dengan harga jualan di Malaysia bermula RM899 untuk model 6GB/64GB dan RM1099 untuk model 6GB/128GB. Ia boleh dibeli mulai 9 September 2020.