Huawei akan melancarkan siri smartphone perdana Huawei Mate 40 dalam masa terdekat. Kini, beberapa maklumat mengenai gambar dan spesifikasi telah didedahkan melalui laman Winfuture.

Melaului sumber, Huawei Mate 40 Pro hadir dengan skrin bersaiz 6.76 inci iaitu lebih besar dari skrin 6.53 inci yang terdapat pada model sebelum ini, Huawei Mate 30 Pro. Paparan yang digunakan dengan lengkungan di sisi seta menggunakan panel OLED dengan resolusi 2722 x 1344 pixel dan PPI 456.

Peranti premium ini bakal hadir dengan cipset HiSilicon Kirin 9000 serta mempunyai cip GPU Mali-G78 dan modem 5G bersepadu.

Peranti ini juga bakal hadir beberapa variasi memori bergantung kepada pasaran negara. Ia termasuk model 8GB RAM / 256GB UFS 3.1 yang akan dipasarkan untuk pasaran Eropah. Pasaran lain seperti China akan mendapat varian memori dengan 12GB RAM. Terdapat juga slot kad NM (nano-memory) bagi yang memerlukan memori tambahan.

Untuk kamera, Mate 40 Pro mempunyai sistem tiga kamera dibahagian belakang dengan lensa utama 50MP (F1.9) disusun pada bulatan dengan penjenamaan Leica di tengahnya. Kamera kedua adalah jenis sudut lebar 20MP (F1.8) dan kamera zoom telefoto 12MP (F3.4) dengan kebolehan zoom optik 5x. Terdapat juga sensor suhu warna (color temperature) digunakan untuk mengesan warna bagi mengambil gambar dengan warna yang sebenar. Untuk selfie pula hadir dengan lensa 13MP (F2.4) dan juga 3D sensor.

Telefon ini turut bawakan bateri 4400mAh yang menyokong untuk pengecasan pantas 65W melalui port USB 3.1 Gen 1. Pengguna akan dapat mengecas sepenuhnya telefon dari kosong dalam masa kurang dari 1 jam. Mate 40 Pro juga mempunyai Bluetooth 5.2, NFC, dan Wi-Fi 6. Malangnya, ia menjalankan Android 10 dengan EMUI 11 dan Huawei Mobile Services berbandung Android 11 yang baru.