Honor 50 & Honor 50 Pro

Honor baru sahaja melancarkan sejumlah peranti yang merangkumi Honor 50, Honor 50 Pro, Honor 50 SE, dan Honor Earbuds 2 SE. Tidak syak lagi, Honor 50 dan 50 Pro adalah produk utama yang menawarkan reka bentuk premium dan direka khas untuk prestasi tinggi.

Honor 50 menampilkan skrin melengkung OLED 6.57 inci dengan resolusi 2340 × 1080 pixels yang menyokong kadar penyegaran skrin 120Hz dan kadar pensampelan sentuhan 300Hz. Ia memiliki lubang kamera selfie tunggal yang terletak di tengah-tengah bahagian atas skrin bagi menempatkan sensor 32MP.

Untuk Honor 50 Pro pula menampilkan paparan yang OLED 6.72 inci yang lebih besar dengan resolusi 2676 x 1080 pixels tetapi mempunyai rekaan dua lubang di sudut kiri atas skrin untuk kamera selfie 32MP dan 12MP.

Untuk prestasi, kedua-dua model ini menggunakan pemproses Qualcomm Snapdragon 778G 5G dengan memori dalaman sehingga 256GB dan 8GB RAM. Berita baik untuk peminat peranti Honor, kedua-dua model ini didatangkan dengan Android 11 berserta servis Google Play. Jadi, anda tidak perlu risau lagi mengenai ketiadaan aplikasi Google seperti pada peranti-peranti Honor dan Huawei sebelum ini.

Untuk kamera belakang, Honor 50 dan Honor 50 Pro berkongsi sistem kamera yang sama dengan kamera utama 108 MP, f/1.9, kamera sudut lebar 8 MP, f/2.2, dan dua lensa 2 MP, f/2.4 untuk sensor potret dan juga kamera makro. Fungsi lain yang terdapat pada kedua-dua model ini termasuk WiFi 6, Bluetooth 5.2, sokongan NFC dan tiada audio jack.

Honor 50 didatangkan dengan bateri Li-Po 4300 mAh dengan pengecasan pantas 66W manakala model Pro dimuatkan dengan bateri Li-Po 4000 mAh dengan pengecasan 100W. Kedua-dua model dijangka berada di pasaran Malaysia dengan harga sekitar RM1799 hingga RM2399.