Lenovo Smart Clock 2

Lenovo telah mengumumkan aksesori rumah pintar terbaru iaitu Lenovo Smart Clock 2. Ia merupakan jam meja pintar dengan integrasi Google Assistant. Berbanding generasi sebelum ini, model baru ini mempunyai reka bentuk yang diperbaharui, skrin 4-inci, integrasi Google Foto serta hadir dengan pengecasan tanpa wayar.

Dengan integrasi Google Assistant, ia mampu mengakses banyak perkara seperti melihat kalendar, mendapatkan kemas kini laporan lalu lintas, mainkan muzik atau mendapatkan sebarang maklumat di internet melalui arahan suara.

Untuk spesifikasi, jam meja pintar ini hadir dengan skrin IPS bersaiz 4-Inci, pemproses MediaTek MT8167S, 1GB RAM serta 8GB memori dalaman. Ia juga menawarkan sambungan untuk Bluetooth 4.2 dan 802.11 a/b/g/n, 2.4GHz.

Lenovo Smart Clock 2 mempunyai material luar fabrik yang hadir dalam tiga warna iaitu Shadow Black, Heather Grey dan Abyss Blue. Ia juga mempunyai speaker 1.5-inci dengan kuasa 3W dan mikrofon jarak jauh yang digunakan untuk Google Assistant. Untuk harga, Lenovo Smart Clock 2 akan dijual pada harga $89,99 (Sekitar RM399) dan dijangka mula dijual pada bulan Ogos 2021 untuk pasaran USA.