Samsung Galaxy S7 Dan Samsung Galaxy S7 Edge

Dua peranti Super-Premium dari Samsung, Samsung Galaxy S7 Dan S7 Edge Kini Rasmi. Bawa Pembaharuan Dari Segi Prestasi, Kamera Dan Fungsi.

Peranti perdana dari LG, LG G5 telah diperkenalkan semalam dengan rekaan modular. Dan kini tiba pula peranti yang ditunggu-tunggu dari Samsung iaitu Samsung Galaxy S7 dan Samsung Galaxy S7 Edge. Ia diperkenalkan di pentas MWC 2016 yang berlansung di Barcelona awal pagi tadi waktu Malaysia. Untuk model kali ini, Samsung menekankan fungsi kamera yang lebih baik, prestasi yang cemerlang, ruang bateri yang lebih besar serta ciri-ciri kalis air.

Pertama kali memandang, sudah tentunya pengguna agak keliru sama ada ianya model Samsung Galaxy S7 atau Samsung Galaxy S6. Ya, Samsung masih lagi mengekalkan rekaan yang sama dengan Galaxy S6 pada model baru ini. Namun, rekaannya telah ditingkatkan pada beberapa bahagian seperti membuang bonggol kamera pada bahagian belakang serta membawakan ciri-ciri kalis air dengan kelulusan IP68 yang membolehkan ia berada 1.5 meter dibawah paras air selama 30 minit. 

Pengguna juga boleh memilih sehingga empat pilihan warna termasuk hitam, putih, emas dan perak. Seperti juga dengan model Galaxy S6 sebelum ini, terdapat pengimbas cap jari pada bahagian butang Home di bahagian bawah peranti.

Spesifikasi Samsung Galaxy S7 Dan Samsung Galaxy S7 Edge

Perbezaan utama Samsung Galaxy S7 dan Samsung Galaxy S7 Edge sudah tentunya pada bahagian skrinnya dimana Galaxy S7 Edge hadir dengan skrin lengkung di bahagian kedua-dua sisinya. Saiz paparan juga berbeza bagi kedua-dua model ini dimana Galaxy S7 hadir dengan skrin sebesar 5.1 inci dengan resolusi Quad-HD manakala S7 Edge hadir dengan skrin yang lebih besar iaitu 5.5 inci pada resolusi yang sama.

Samsung Galaxy S7 Dan Samsung Galaxy S7 Edge Samsung Galaxy S7 Dan Samsung Galaxy S7 Edge

Kapasiti bateri juga berbeza dimana Galaxy S7 Edge dengan bateri yang lebih besar dengan Li-Ion 3600 mAh dan bagi Galaxy S7 pula dengan bateri Li-Ion 3000 mAh. Spesifikasi yang lain dilihat hampir sama. 

Bagi prestasinya pula, Kedua-dua peranti ini membawakan dua jenis pemproses. Untuk pasaran USA dan beberapa negara lain akan menerima model dengan Cipset Snapdragon 820 manakala untuk pasaran antarabangsa yang lain akan menerima Cipset buatan Samsung sendiri iaitu Exynos 8890. Didalamnya juga hadir dengan 4GB DDR4 RAM dan juga pilihan ruangan memori 32 GB atau 64 GB. Seperti juga pesaingnya LG G5, kedua-dua model ini hadir dengan sokongan slot microSD sehingga 200 GB.

Masalah kepanasan mungkin tidak akan berlaku lagi untuk Samsung Galaxy S7 dan Samsung Galaxy S7 Edge. Ini kerana ia dilengkapi dengan sistem penyejuk cecir yang di isi pada paip kuprum khas dan disalurkan ke CPU dan juga GPU seperti yang terdapat pada komputer riba.

Samsung Galaxy S7 Samsung Galaxy S7 Samsung Galaxy S7
Samsung Galaxy S7 Edge Samsung Galaxy S7 Edge Samsung Galaxy S7 Edge

Untuk fungsi fotografi, Samsung dilihat menaik taraf terutamanya pada bukaan kanta atau Aperture yang lebih besar. Mereka menggunakan Aperture F1.7 pada kedua-dua peranti ini berbanding F1.9 pada Samsung Galaxy S6. Ini membenarkan lebih banyak cahaya memasuki sensor dan beri kelebihan pada fotografi dengan persekitaran yang kurang cahaya serta kualiti Depth Of Field atau Bokeh yang lebih baik.

Jika HTC membawakan teknologi Ultra-Pixel untuk kameranya, Samsung pula menekankan teknologi Dual-Pixel. Teknologi ini lebih kepada penambahbaikan sistem fokus yang lebih tepat dan cepat. Antara fungsi lain pada kamera termasuk Phase Detection Autofocus, OIS dan rakaman video 4K.

Dari segi Software, Samsung Galaxy S7 dan Samsung Galaxy S7 Edge memperkenalkan beberapa fungsi baru pada peranti mereka. Antaranya seperti Always On Display yang seperti terdapat pada LG G5, Game Launcher yang membenarkan pengguna menguruskan permainan mereka, membuat rakaman skrin serta meningkatkan prestasi permainan dan penjimatan bateri.

Tarikh Pasaran Serta Harga Samsung Galaxy S7 Dan S7 Edge Di Malaysia

Samsung Galaxy S7 Dan S7 Edge

Semasa pelancaran, Samsung mengumumkan tarikh tempahan yang boleh dibuat pada 23 Febuari ini serta akan menerima peranti mereka pada 11 March kemudiannya. Samsung juga telah membuat tawaran bagi yang membuat tempahan pada tarikh tersebut akan menerima percuma Samsung Gear VR dan permainan percuma. Namun ini adalah untuk pasaran US.

Baca : Senarai Harga Samsung Terkini di Malaysia

Di Malaysia, Samsung Malaysia juga telah mendedahkan bahawa Samsung Galaxy S7 dan S7 Edge boleh mula ditempah pada 7 hingga 11 March ini. Jualan rasmi pula bermula pada 18 March ini.

Untuk harga Samsung Galaxy S7 masih belum didedahkan. Sebagi perbandingan Samsung Galaxy S6 dan S6 Edge dijual sekitar RM2,599 dan RM3,099 untuk model 32 GB.